News

Lebih 40,000 kes baharu kardiovaskular setiap tahun

NORMAIRAH JAMALUDDIN | 07 Mei 2016 12:51 AM

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kementerian Kesihatan menerima lebih 40,000 kes baharu penyakit berkaitan masalah kardiovaskular setiap tahun dengan sebanyak 4,000 daripadanya didiagnos menghidap penyakit jantung.

 

Pengarah Bahagian Perkemba­ngan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, penambahan jumlah rakyat yang dikesan mempunyai masalah kardiovaskular itu amat membimbangkan kerana penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di negara ini.

 

“Kita dapati 10 hingga 15 peratus daripada 4,000 pesakit yang didiagnos menghidap penyakit jantung itu pula perlu menjalani pembedahan dan keadaan ini sangat membimbangkan kerana jumlah tersebut tidak menunjukkan penurunan malah bertambah setiap tahun.

 

“Penyakit kardiovaskular boleh dihidapi oleh semua golongan termasuk bayi. Antara punca utama yang menyumbang kepada penyakit ini ialah mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti tidak menjaga pemakanan, tidak bersenam, tidak cukup tidur dan sebagainya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Ke-17 Persa­tuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS), di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Perkhidmatan Pembedahan Kardiotorasik Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hamzah Mohd. Kamarulzaman; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara, Datuk Dr. Azhari Yakub; Presiden MATCVS, Dr. Hamdan Leman dan wakil Royal College of Surgeons of Edinburgh, Dr. Ti­mothy Graham.

 

Azman berkata, mesyuarat tahunan tersebut menjadi platform untuk rakan industri kesihatan antara Malaysia dan luar negara berkongsi idea dan membincangkan teknologi terkini dalam membantu menjayakan pembedahan penyakit kardiovaskular.

 

“Bukan itu sahaja, bagi meningkatkan bilangan pakar bedah jantung di negara ini, Lembaga Pembedahan Kardiotorasik Malaysia akan menganjurkan beberapa program dengan kerjasama Royal College of Surgeons of Edinburgh,” katanya.

 

Originally published in:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lebih-40-000-kes-baharu-kardiovaskular-setiap-tahun-1.319281

© 2012 Malaysian Association of Thoracic & Cardiovascular Surgery